Saturday May 19th 2012

AKIBAT TERSALAH MELETAK CINTA

Saya mulakan artikel ini dengan membawakan satu ayat al Quran dalam surah al Taubah ayat 24 yang secara terang dan jelas menerangkan akibat daripada tersalah meletakkan cinta. Cinta Allah , cinta RasulNya dan cinta untuk berjihad tidak dijadikan cinta utama dalam hidup akibat terlebih memberikan dos cinta kepada yang lain. Firman Allah:

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنْ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

 Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

Naluri menyayangi bapa, anak-anak, saudara mara, isteri, kaum keluarga, harta benda, bisnes, banglo kediaman itu adalah fitrah dan anugerah Allah kepada kita bahkan kita tidak dilarang untuk menyayanginya. Tetapi apabila kasih sayang kita melebihi dos dan sukatan yang sepatutnya maka ia akan memudaratkan kita.

Apabila menyayangi bapa-bapa kita sehingga adat istiadat, pegangan tradisi, khurafat zaman berzaman dipertahankan walaupun bertentangan dengan agama, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila menyayangi anak- anak dengan mengikut seribu satu kehendaknya tanpa memikir kesan baik atau buruk terhadap pegangan agama anak- anak kita, adakah ia akan menjadi bakal tentera tentera Allah atau menjadi budak suruhan musuh Allah,  maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka

Apabila kita mengasihi rakan taulan, saudara kita sehingga perintah Allah kita langgar, agama Allah tidak terbela, demi meraikan ikatan persaudaraan sehingga rakan kita yang benar – benar membela agama Allah terpinggir, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila kita mengiyakan segala tindakan isteri kita walaupun tindakannya terang -terang melanggar perintah Allah, dayus kita sebagai suami yang gagal menggunakan kuasa wewenang sebagai suami, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka.

Apabila kita menyayangi kaum keluarga kita sehingga kita menindas dan menzalimi orang lain , mengkayakan kaum keluarga sendiri dengan menggunakan kuasa dan hartabenda secara batil, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada mereka

Apabila kita asyik menyayangi harta benda kita sehingga kita tidak menghiraukan halal atau haram cara mendapatkannya , sudah dizakatkan atau tidak, tidak kesah jika harta harta itu menghalang kita untuk lebih rajin beribadah Allah atau akan lebih menjauhkan kita dari Allah, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada harta benda kita.

Apabila kita sibuk berbisnes tanpa menghirau batas halal dan haram, amat takut kerugiaan sehingga sanggup menebusnya dengan menjemput kemurkaan Allah dengan menipu, dengan transaksi riba dan sebagainya, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada perniagaan kita.

Apabila kita sangat selesa duduk di rumah kediaman kita sehingga sangat  berkira untuk ke masjid, ke surau , ke majlis ilmu jauh dan dekat , walaupun kadang kadang sangat jelas laungan azan didengar dari rumah, maka kita sudah terlebih dos memberikan kasih sayang kepada rumah – rumah kita.

Akibatnya sangat tragis dan dahsyat iaitu

فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْ

maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya

Melebihkan cinta Allah adalah salah satu ciri pembeza antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Maka tidak pelik lah jika ada seorang mukmin sanggup dikenakan apa sahaja tindakan terhadap dirinya jika ia tahu tingginya nilai mencintai Allah melebihi segala-galanya. Firman Allah dalam surah al Baqarah 165

وَمِنْ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَندَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ

Ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.  

Gagalnya umat Islam melindungi saudaranya walaupun seorang daripada murtad adalah faktor beralihnya kasih sayang Allah kepada kaum lain seperti firman Allah dalam surah al Maidah ayat 54

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّـهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّـهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيم

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Ayat ini secara jelas menunjukkan sikap yang sepatutnya diambil oleh semua orang Islam agar melebihkan kasih sayang sesama mukmin dan bersikap tegas kepada orang kafir , bukan sebaliknya merasa terhimpit dan tersepit dengan celaan dan desakan orang lain sehingga gagal mempertahankan wajib nya berkasih sayang sesama saudaranya yang muslim , lebih lebih lagi dalam isu yang tiada khilaf lagi iaitu mempertahan aqidah dan  syariat Islam. Di manakah lagi kita ingin bingkaikan hadith indah Nabi SAW

- لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

صحيح البخاري

Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mengasihi saudaranya sepertimana ia mengasihi dirinya sendiri.

Marilah sama sama kita memeriksa diri masing masing agar kita tidak terkeluar dari senarai orang orang yang disayangi Allah SWT.

ZAMRI HASHIM

TIMBALAN MUFTI PERAK

Leave a Comment

More from category

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia: Adakah mematuhi syariah?
Skim Amanah Rakyat 1Malaysia: Adakah mematuhi syariah?

Merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia edisi 28.01.2012, kerajaan melalui Malaysia Development Holdings Sdn, [Read More]

HUDUD MENAKUTKAN PELABUR PANDANGAN DANGKAL!
HUDUD MENAKUTKAN PELABUR PANDANGAN DANGKAL!

      Adalah sesuatu yang semula jadi bahawa undang-undang sangat diperlukan agar kehidupan masyarakat dapat [Read More]

PERTAHANKAN AKIDAH UMAT!
PERTAHANKAN AKIDAH UMAT!

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga [Read More]

TRAGEDI BUKIT KEPONG: HORMATILAH MAYAT!
TRAGEDI BUKIT KEPONG: HORMATILAH MAYAT!

Salah satu ciri keindahan ajaran Islam ialah ia adalah satu cara hidup yang mengatur hubungan sesama manusia bukan [Read More]

Insider

Archives