Tanggal 9 April 2011 (Sabtu)  adalah hari yang sangat bersejarah bagi wanita ISMA Perak kerana julung-julung kalinya dapat menjayakan satu program yang agak besar iaitu simposium wanita khusus untuk guru-guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Negeri Perak. Program ini adalah anjuran bersama Persatuan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR), Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bertemakan “Guru Berkualiti, Pemangkin Generasi Rabbani”.

Simposium yang berlangsung di Dewan Serbaguna Institut Tadbiran Islam (INTIM) Ipoh telah dirasmikan oleh YB Datuk Azhar bin Ahmad, exco Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat dan telah dihadiri oleh 900 peserta guru wanita  yang datang dari seluruh pelusuk Negeri Perak.

Objektif utama Simposium ini adalah untuk membantu guru-guru agar sentiasa memperkasa dan memantapkan jati diri seorang pendidik. Simposium ini juga membantu guru-guru meningkatkan kefahaman tentang peranan seorang pendidik wanita, memahami isu-isu dan cabaran pendidikan semasa serta bagaimanakah cara yang paling baik untuk menangani karenah anak-anak didik yang semakin hari semakin menguji kesabaran guru-guru.

Sebanyak 3 slot telah disusun dalam simposiun ini, Ustazah Nor Akhilah bt Baharin selaku Ketua Wanita ISMA Perak telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk ‘Pendidik Wanita, antara realiti dan harapan’. Slot ke-2 pula diisi oleh Tn Hj Wan Ahmad Tarmizi selaku Presiden PPSR Negeri Perak telah membentangkan kertas kerja ke-2 yang bertajuk ‘Cabaran Pendidikan Semasa dan Cara Menanganinya’, manakala slot 3 ialah sebuah persembahan forum dimoderator oleh En Mohd Nizam bin Tajeri dan gandingan ahli panel Tn Hj Fadzlan Shahidi bin Ghazali, Tn Hj Zamri bin Hashim & Hjh Fatimah bt Othman.

Persembahan pimidato cilik, adik Aisyah Insyirah bt Mohd Nizam telah menghiburkan suasana simposium dengan kepetahan dan kelantangan suaranya. Simposium ini telah berjalan lancar dengan jayanya hasil gigih daripada usaha semua pihak dan diakhiri dengan sebuah persembahan nasyid yang mantap dari Shoutun Nisa’ Institut  Pendidikan Guru Kampus Ipoh. Semoga Wanita ISMA Perak akan dapat terus memacu ahli-ahlinya ke arah memperkembangkan dakwah ISMA di tengah-tengah masyarakat khususnya di Negeri Perak – MEMBINA GENERASI HARAPAN.