Sunday May 20th 2012

Skim Amanah Rakyat 1Malaysia: Adakah mematuhi syariah?

Merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia edisi 28.01.2012, kerajaan melalui Malaysia Development Holdings Sdn, Bhd. (MDH) menawarkan 100,000 isi rumah menyertai Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) mulai hari Isnin 30 Januari 2012.

Menurut Pengerusi MDH Datuk Dr. Irwan Serigar Abdullah, setiap individu yang layak dan berminat untuk menyertainya perlu meminjam sebanyak RM5,000 dari 4 institusi bank yang dilantik iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan BSN.

Para peserta Sara 1Malaysia akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia.

Ada beberapa perkara dari sudut syarak yang perlu mendapat pencerahan agar niat untuk menolong isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah sentiasa diberkati oleh Allah SWT. Perkara-perkara berkenaan adalah seperti berikut:-

1-      Mengenakan syarat perlu membuat pinjaman sebanyak RM5,000 dari 4 institusi bank yang dilantik iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan BSN untuk menyertai pelaburan ini bertentangan atau tidak dengan dengan hadith Nabi SAW “Rasulullah SAW melarang daripada membuat dua kontrak dalam satu kontrak”(Shafqatain fi shafqah wahidah)- Riwayat Ahmad, al-Bazzar?

2-      Para peserta Sara 1Malaysia akan mendapat jaminan pulangan insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia. Adakah pulangan tetap (guaranteed fixed return) ini tidak bertentangan dengan konsep mudharabah dalam Islam yang menetapkan tidak harus menetapkan jaminan pulangan dengan jumlah tertentu kerana bertentangan dengan kaedah feqh “ al-ghunmu bi al-ghurmi” bermaksud bagi mendapatkan keuntungan (hasil pelaburan) mestilah sanggup menanggung risiko? Kesatuan ulama fiqh sedunia 1992 telah menetapkan: Mana-mana pelaburan di mana  pihak yang mengusahakannya (syarikat) menjamin kadar pulangan tertentu untuk diberikan kepada pelabur, adalah haram kerana ia telah menjadikan kontrak itu sebagai pinjaman yang mengenakan faedah. Ia juga seperti bertentangan dengan hadith Nabi SAW : al-kharaj bi al dhaman bermaksud untuk mendapatkan keuntungan ,mestilah sanggup mengambil risiko(Hadith riwayat al-Syafii, Ahmad, Ibn Hibban, Abu Daud)

3-      Adakah urusniaga ini termasuk dalam urusan pemerintah untuk menjaga kemaslahatan rakyat seperti tercatat dalam kaedah “tasarruf al-imam bi al ra’ayyiah manut bi al maslahah” bermaksud tindakan dan usaha pemerintah terhadap rakyatnya terikat dengan maslahah sedangkan menurut kebanyakkan ulama’ “maslahah” itu sendiri diikat dengan beberapa syarat. Sebagai contoh ulama’ ulung Dr Said Ramadhan al-Buti meletakkan beberapa syarat asas maslahah seperti tidak terpesong dari tujuan asal syariat, tidak bertembung dengan dalil yang qati’e dari al- Quran dan al-Hadith, tidak bertentangan dengan qiasnyang sahih dan tidak menafikan maslahat yang lebih utama daripada.

4-      Adakah transaksi ini telah dikemukakan kepada pakar-pakar muamalah Islam di Malaysia mahupun penasihat Syariah samasa di peringkat PNB mahupun MDH untuk dinilai dari sudut hukum hakamnya. Jika sudah ada pandangan dari pakar-pakar ini, maka rakyat khususnya penganut Islam berhak untuk mendapat penjelasan mengenai perkara-perkara asas yang dikemukan di atas.

5-      Kita berharap agar pakar-pakar ekonomi dan mua’amah Islamiyyah dapat membantu memberikan penerangan, agar tiada lagi keraguan mengenainya.

 

Zamri Hashim

Timbalan Mufti Perak


Leave a Comment

Insider

Archives